Friday 7 February 2014

TOPIK 6 ~ FRASA KERJA BAHASA MELAYU

  • FRASA KERJA DENGAN KATA BANTU
  • FRASA KERJA DENGAN AYAT KOMPLEMEN
  • UNSUR KETERANGAN DALAM FRASA KERJA


FRASA KERJA DENGAN KATA BANTU

> Unsur kata bantu boleh disertai oleh kata penguat.

> Kata bantu menerangkan kata kerja dari dua sudut makna mengikut makna yang didukung oleh kedua-dua jenis kata bantu.

> Kata bantu aspek : menerangkan aspek waktu bagi kata kerja.

> Kata bantu ragam : menerangkan ragam perasaan bagi kata kerja.


Kata Bantu Aspek
> Menerangkan waktu pada kerja yang dilakukan.

> Tiga aspek : sudah, sedang, belum

Kata Bantu Aspek
Sudah dilakukan
Sedang dilakukan
Belum dilakukan
sudah
sedang
belum
telah
masih
akan
pernah
mula
baru

> Contoh ayat :
Mamat sedang mandi.
Kami pernah melihat buku itu.
Adik Ani belum menyiapkan kerja sekolah.

> Kata bantu aspek boleh hadir sederetan misalnya ;
sudah + pernah,    masih + sedang,   sudah + mula

> Namun demikian, tidak boleh hadir bersama sekiranya ;
telah + belum,    sudah + belum,    sedang + masih


Kata Bantu Ragam
> Perkataan yang menerangkan ragam atau suasana perasaan sesuatu perbuatan dilakukan.

> Misalnya ; mungkin, boleh, dapat, mesti, patut, hendak, mahu, harus, enggan

> Contoh ayat :
Hamidah mesti hadir ke sekolah.
Dia mahu membeli komputer riba.
Datuk mungkin pergi ke kebun.

> Kata bantu ragam boleh hadir sederetan misalnya ;
mesti + dapat, mungkin + boleh, harus + mahu

> Namun demikian, tidak boleh hadir bersama sekiranya ;
dapat + hendak,    mahu + boleh,    enggan + patut

> Kata bantu aspek boleh juga hadir bersama-sama kata bantu ragam secara berderetan.

> Contoh ayat ;
Kata Bantu Aspek + Kata Bantu Ragam
Lina belum boleh berjalan kerana kecederaan itu.
Abang masih dapat melawat ibu walaupun sibuk dengan kerjanya.

> Contoh ayat ;
Kata Bantu Ragam + Kata Bantu Aspek
Ibu mesti sudah tidur pada pukul 9.30 malam.
Sepupunya mesti akan pulang ke kampung halaman.


FRASA KERJA DENGAN AYAT KOMPLEMEN

> Frasa kerja sama ada kata kerja transitif atau kata kerja tak transitif boleh menerima ayat komplemen dan seterusnya membentuk ayat majmuk.

> Contoh frasa kerja transitif dengan ayat komplemen :
Dia menyatakan bahawa ibunya bekerja sebagai pramugari.
Wanita itu menafikan bahawa kawannya sedang bercuti.

> Contoh frasa kerja tak transitif dengan ayat komplemen : 
Pihak polis berpendapat bahawa rompakan telah berlaku pagi tadi.
Kawan baiknya berkata bahawa rumah itu tidak berpenghuni.


UNSUR KETERANGAN DALAM FRASA KERJA

> Unsur keterangan berfungsi sebagai frasa adverba.

> Unsur keterangan hadir selepas kata kerja dan hadir selepas objek.

> Unsur keterangan terdiri daripada frasa sendi nama, frasa adjektif, frasa nama dan kata adverba.

Frasa keterangan terbahagi kepada lapan kumpulan iaitu :
1) keterangan tempat atau arah
2) keterangan waktu
3) keterangan cara
4) keterangan tujuan atau harapan
5) keterangan alat
6) keterangan penyertaan
7) keterangan hal
8) keterangan bagai

1) keterangan tempat atau arah : 
> Lokasi terjadi peristiwa atau keadaan. Kata sendi nama misalnya di, ke, dari, daripada, kepada dan pada. Contoh ayat :
Peserta itu berasal dari Kuantan.
Kamala menerima surat daripada anak muridnya.

2) keterangan waktu :
> Keterangan waktu. Frasa sendi nama yang pertama mengandungi kata sendi nama pada, dalam, sejak, sehingga. Frasa nama yang kedua terdiri daripada semalam dan dua dekad yang lalu. Contoh ayat:
Acara itu tamat pada pukul 10.00 pagi
Peristiwa pahit itu berlaku sejak dua dekad yang lalu.

3) keterangan cara :
> Pertama ; kata adjektif yang berfungi sebagai kata adverba. 
> Kedua ; frasa sendi nama yang mengandungi kata sendi nama dengan diikuti oleh kata adjektif yang menerima kata pembenda -nya. Contoh ayat :
Kereta merah itu bergerak laju.
Van itu bergerak dengan lajunya.
Murid itu berlari pantas.
Pemuda itu melompat dengan tingginya.

4) keterangan tujuan atau harapan :
> Menerangkan maksud sesuatu perbuatan atau kejadian. Kata sendi nama demi, untuk, bagi. Contoh ayat :
Pelajar sekolah itu berusaha untuk mendapat keputusan cemerlang di dalam peperikasaan.
Aktiviti gotong-royong dijalankan bagi menjaga kebersihan kawasan taman perumahan itu.

5) keterangan alat :
> Menerangkan perkakas atau benda. Kata sendi nama ialah dengan. Contoh ayat :
Kakak memotong tali itu dengan pisau kecil.
Kawan saya datang dengan teksi.

6) keterangan penyertaan :
> Menerangkan maksud. Kata sendi nama ialah dengan. Contoh ayat:
Wanita itu datang dengan anaknya
Pengerusi masuk ke dewan dengan ahli jawatankuasanya.

7) keterangan hal :
> Menerangkan keadaan . Kata sendi nama ialah tentang, mengenai dan terhadap. Contoh ayat :
Pensyarah telah berbincang tentang masalah tersebut.
Pihak yang berkenaan akan mengeluarkan notis mengenai catuan bekalan air di negeri tersebut.

8) keterangan bagai :
> Menerangkan keserupaan . Kata sendi nama ialah seperti, bagai, sebagai dan bak. Contoh ayat :
Guru berperanan sebagai contoh model kepada murid.
Mereka sentiasa bekerjasama bagai aur dengan tebing

*tatabahasa dewan edisi ketiga